Thursday, August 26, 2010

Bersedekah Kepada Anak Yatim: Tuntutan Agama

Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda

Ganjaran yang dikurniakan Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah adalah amat besar. Sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan kemudian tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji adalah perumpamaan perbelanjaan yang dikeluarkan pada jalan Allah.

Bersedekah adalah salah satu daripada apa yang disebut sebagai membelanjakan harta pada jalan Allah. Ini kerana tujuan seseorang bersedekah itu adalah atas dasar mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Bersedekah sama ada dengan wang ringgit atau lainnya merupakan amalan mulia yang memberi keuntungan kepada orang yang mengeluarkannya dan orang yang menerimanya. Orang yang bersedekah mendapat balasan pahala, sementara bagi orang yang menerimanya pula dapat menggunakan sedekah tersebut bagi memenuhi keperluan hidupnya.

Hukum Bersedekah

Hukum bersedekah itu sunat berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Di antaranya:

1. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala: Tafsirnya: “Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas).”
(Surah al-Baqarah: 245)

Di dalam kitab al-Jami‘ li Ahkam al-Qur’an disebutkan, antara maksud ayat di atas ialah galakan untuk bersedekah, menginfak harta kepada orang-orang fakir dan orang-orang yang memerlukan.

2. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Maksudnya: “Sesiapa di antara kamu berkemampuan untuk berlindung daripada neraka (dengan melakukan sedekah) walaupun hanya dengan separuh buah kurma, maka lakukanlah.”
(Hadis riwayat Muslim)

Sedekah sunat dilakukan pada bila-bila masa, namun yang lebih afdhal dilakukan pada bulan Ramadhan dan juga sangat digalakkan pada hari-hari mulia yang lain seperti 10 Zulhijah dan pada Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adhha. Begitu juga afdhal dilakukan pada perkara-perkara yang diberi perhatian seperti gerhana, sakit dan pelayaran.

Siapa Yang Afdhal Diberi Sedekah?

Sedekah afdhal diberikan kepada saudara terdekat walaupun saudara terdekat itu merupakan orang yang wajib diberikannya nafkah. Perkara ini ada disebutkan di dalam sebuah hadis sebagaimana perbualan Zainab Radhiallahu ‘anha dengan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Wahai Nabi Allah, sesungguhnya hari ini engkau memerintahkan untuk bersedekah. Aku mempunyai perhiasan untuk diriku, maka aku ingin menyedekahkannya.” Ibnu Mas‘ud berpendapat bahawa sesungguhnya dia (Ibnu Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu) dan anaknyalah yang lebih berhak menerima sedekahku itu. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Ibnu Mas‘ud benar, suamimu dan anakmu adalah lebih berhak untuk engkau beri sedekah”.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)

Dalam sebuah hadis yang lain pula, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Sedekah kepada orang miskin itu mendapat satu pahala sedekah, dan sedekah kepada saudara mara itu mendapat dua pahala iaitu pahala sedekah dan pahala menyambung
silaturrahim.”
(Hadis riwayat al-Hakim)

Begitu juga afdhal bersedekah kepada jiran berbanding orang lain. Jika dia mempunyai dua orang jiran, adalah lebih afdhal mendahulukan jiran yang lebih dekat dengan pintu rumahnya.

Sayyidatina ‘A’isyah Radhiallahu ‘anha menceritakan: Maksudnya: “Aku berkata kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya bagiku ada dua orang jiran. Maka siapa antara keduanya ku berikan hadiah?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Kepada yang
lebih dekat pintu rumahnya daripada (pintu rumah) engkau.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)

Begitu juga bersedekah kepada orang-orang yang berbuat kebaikan dan orang-orang yang memerlukan adalah lebih diutamakan.

Bersedekah Kepada Anak Yatim

Anak yatim ialah kanak-kanak yang tidak mempunyai bapa. Mereka termasuk dalam golongan yang memerlukan kerana telah kehilangan ketua keluarga yang sepatutnya menyara kehidupan mereka. Maka bersedekah kepada mereka adalah sangat diutamakan.

Islam sangat mengambil berat tentang hal ehwal anak-anak yatim. Dari penjagaan mereka sehinggalah pada pengendalian harta mereka jika mereka mempunyai harta, semuanya ada digariskan di dalam al-Qur’an. Kita diperintahkan untuk berlemah lembut dan berbuat baik kepada mereka.

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala: Tafsirnya: “Dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan
kaum kerabat, dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin.”
(Al-Baqarah: 83)

Ganjaran yang diberikan terhadap perlakuan baik kepada anak yatim amat besar di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Begitu juga, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengkhabarkan tentang kedudukan mulia di syurga bagi orang yang menjaga anak yatim. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Penjaga anak yatim daripada kerabat atau bukan kerabatnya, saya dan penjaga itu adalah seperti dua jari ini di dalam syurga.” Malik (periwayat hadis) mengisyaratkan dengan jari telunjuk dan jari hantu.”
(Hadis riwayat Muslim)
Menghulurkan sedekah kepada mereka adalah salah satu daripada perlakuan baik yang dimaksudkan itu. Sedekah yang dihulurkan berupa wang ringgit atau barang-barang keperluan, bukan sahaja mengurangkan bebanan mereka, bahkan dapat menimbulkan kebahagiaan di hati mereka.

Membantu anak yatim terutama mereka yang hidup susah dan tidak mendapat penjaga yang sewajarnya inilah yang dimaksudkan sebagai تعاون (bantu-membantu atau tolong menolong) yang dituntut oleh Islam. Oleh yang demikian, usaha berbagai-bagai pihak untuk mengumpulkan dana bagi anak-anak yatim bertepatan dengan apa yang dianjurkan oleh Islam.

Hukum bersedekah kepada anak yatim adalah sunat. Namun lebih afdhal jika sedekah itu dihulurkan kepada anak yatim dari kalangan keluarga atau saudara mara terdekat jika ada. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: Apa dia amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu?(12) (Di antaranya bagi orang yang mampu) ialah memerdekakan hamba sahaya;(13) atau memberi makan pada hari kelaparan-(14) kepada anak yatim dari kaum kerabat.(15)”
(Surah al-Balad: 12-15)


Maksud ayat ke-15 dari surah al-Balad di atas adalah afdhal bersedekah kepada anak yatim dari kalangan kerabat berbanding yang bukan dari kalangan kerabat. Begitu juga afdhal bersedekah kepada anak yatim yang tiada mempunyai penjaga berbanding anak yatim yang mempunyai penjaga.

Bersedekah sama ada berupa wang atau lain-lain merupakan salah satu wadah untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan. Pahala bagi orang yang bersedekah amat besar walaupun sedekah yang dihulurkan hanya dengan nilai yang sedikit. Ini kerana nilai yang sedikit juga menyumbang pada kegembiraan yang dirasakan oleh si penerima.


No comments:

Post a Comment