Wednesday, September 1, 2010

Rumah - Beli Atau Sewa?

Beberapa artikel saya yang lalu menyentuh mengenai riba' yang mana merupakan isu yang teramat sensitif, lebih-lebih lagi didalam kehidupan serba moden (atau akhir zaman) yang mana riba' itu sudah menjadi asam garam kehidupan, tetapi pada pendapat saya ianya lebih kepada monosodium glutamate (MSG) berbanding asam garam yang mana telah menambahkan kelazatan hidup itu sendiri kerana tanpa riba' itu mana boleh manusia merasakan nikmat materialistik seperti rumah besar dan kereta baru, padahal disebalik riba' itu terselindung dosa yang lebih buruk dari berzina. Babi tetap kekal menjadi suatu yang jijik dan dielakkan kerana ada alternatif makanan lain, riba' yang kononnya tidak boleh dielakkan lama kelamaan menjadi suatu yang biasa didalam kehidupan manusia itu sendiri, maka tidak hairanlah jika terdapat hadis yang mengatakan dari setiap 1000 jumlah manusia, 999 akan dicampakkan ke neraka di akhirat nanti.

Untuk mengelak riba' terutamanya didalam dua perkara utama didalam kehidupan, rumah dan kereta, ianya boleh dilakukan samada dengan menyewa rumah ataupun membeli kereta terpakai, akan tetapi disebabkan kita telah didodoi dengan iklan-iklan dan tawaran-tawaran hebat dari penjual rumah atau kereta dan juga pihak bank yang terlalu menarik untuk tidak diendahkan, maka tawaran syurga Allah yang memerlukan frontal lobe yang kuat untuk melihatnya dilupakan (manusia didodoi dengan hiburan melalaikan yang mana tidak menggalakkan berfikir dan ini melemahkan visi hidup jangka panjang).

Merujuk kepada kereta, mungkin ada yang berkata, nak beli kereta terpakai pun bukan seratus dua, beribu-ribu juga harganya jadi kena juga membuat pinjaman. Persoalan ini berbalik kepada sekuat mana iman kita, mereka yang benar-benar beriman akan melakukan apa sahaja untuk mendapat keredhaan Allah walau apa pun harga yang terpaksa dibayar, contohnya dengan sanggup menaiki pengangkutan awam dari membeli kereta dengan riba'.

Untuk rumah pula, kebanyakan mentaliti manusia adalah,
"buat apa menyewa, bayar tiap-tiap bulan tetapi rumah itu jadi rumah orang lain"
Disini saya ingin mengajak rakan-rakan semua melihat konsep membeli rumah itu dari sudut yang berbeza, adakah benar dengan membeli dan membayar tiap-tiap bulan selama dua-tiga puluh tahun itu kita mem"bayar" pinjaman rumah itu sebenarnya? Saya akan sediakan satu contoh perkiraan untuk membolehkan kita melihat sendiri untuk siapakan kita bekerja penat lelah untuk mencari wang membayar pinjaman terutamanya dalam 2/3 pertama tempoh pinjaman tersebut.
Jumlah pinjaman : RM300,000
Kadar riba' : 6%
Tempoh pinjaman: 30 tahun

Kadar riba' atau kadar faedah saya letakkan atas dasar anggaran purata berdasarkan sejarah turun naik kadar pinjaman asas (BLR) Bank Negara. Berikut adalah carta pinjaman dari laman web BankRate untuk menjelaskan fakta sebenar berkenaan pinjaman tersebut.


Untuk pinjaman sebanyak 300K itu, dari RM 1798.65 bayaran bulanan yang dibayar, hanya RM 298.65 digunakan untuk membayar wang yang dipinjam, sebanyak RM 1500 adalah riba' atau faedah yang dikenakan oleh pihak bank. Jumlah bayaran untuk pinjaman sebenar meningkat hanya sekitar RM 2 sahaja sebulan untuk tahun pertama. Jumlah yang dibayar pada tahun pertama untuk melangsaikan hutang hanya berjumlah RM 3684.01 hanya 1.2% dari jumlah pinjaman asal iaitu 300K, manakala jumlah riba' yang dibayar adalah sebanyak RM 17,899.80 atau 5.98% dari jumlah pinjaman

Pada tahun kedua pula, jumlah pinjaman asas yang dibayar adalah RM 3911.26 dengan peningkatan hanya sebanyak RM 227.25 dari tahun pertama. Jika dikira jumlah wang yang sudah kita depositkan kedalam akaun pinjaman selama dua tahun, jumlahnya pula adalah sebanyak RM 43.167.60 yang mana hanya RM 7595.27 untuk menolak pinjaman asas. Ini bermakna, walaupun sudah membayar lebih 40 ribu, jumlah pinjaman masih melebihi 290 ribu dan wang keringat kita sebanyak lebih 35 ribu ringgit hanyalah untuk membayar riba'.

Tidakkah jumlah ini sahaja sudah cukup untuk membuka mata untuk siapa sebenarnya kita bekerja? Adakah keadaan sehingga isteri terpaksa keluar bekerja untuk membantu membayar pinjaman hingga  pelaburan saham akhirat yang utama iaitu anak-anak yang soleh terabai, isteri bercampur gaul bebas dengan lelaki lain dan pelbagai lagi penyakit sosial itu berbaloi hanya semata-mata terpedaya dengan ungkapan beli lebih baik dari menyewa?

Keadaan diperhambakan oleh bank ini berterusan hinggalah tempoh pinjaman mencecah 2/3 dari usia tempoh pinjaman. Hanya pada tahun yang ke 19 sahaja baru jumlah bayaran untuk pinjaman melebihi jumlah riba' atau faedah, dengan jumlah riba' yang dibayar hampir memcecah harga pinjaman iaitu 279 ribu, sedangkan hutang belum pun separuh dibayar iaitu masih berbaki 178 ribu.


Jumlah keseluruhan yang akan dibayar selama 30 tahun itu adalah RM 647,514.57 yang mana riba'nya sahaja adalah sebanyak RM 347,514.57, hampir 50 ribu melebihi jumlah pinjaman asal.


Pemikiran membeli rumah dengan sistem riba' ini adalah lebih baik dari menyewa adalah pemikiran manusia yang telah terpedaya dengan dakyah dan tipu helah dunia yang sementara ini. Manusia menjadi hamba kepada bank dan menindas diri sendiri tanpa sedar. Disebabkan oleh sistem ciptaan Yahudi ini jugalah pelbagai masalah sosial masyarakat berlaku di zaman ini. Sebab itulah Allah mengishtiharkan perang terhadap riba' dan sesiapa yang terlibat dengan riba' baik yang mengambil, memberi, merekod ataupun menjadi saksi akan mendapat dosa yang sama. Mereka tidak sedar disebabkan perbuatan mereka itulah hidup mereka menjadi sedemikian rupa, penuh dengan keadaan tertekan, susah hati, duka dan sengsara akibat dari hutang berlandaskan riba itu tadi.

Bagaimana pula dengan bank yang memberikan pinjaman berlandaskan Islam? Bagi saya ianya sama sahaja dengan pinjaman kenvensional kerana ianya juga bertujuan mengaut keuntungan dengan menghisap darah umat Islam yang terpedaya, ianya tetap riba' akan tetapi riba' yang ikut pintu belakang bak kata Sheikh Imran Hossein. Bagaimana bank islam pasti rumah yang akan dibeli naik harga seperti harga jualan? Adakah mereka mempunyai ahli nujum yang boleh meramal masa depan? Jika harga rumah naik, sama-samalah untung, jika harga rumah turun atau tidak naik, maka pembeli menjadi hamba kepada bank yang berselindung atas nama atau pinjaman cara Islam. Adakah ini diterima walau dilihat dari segi kemanusiaan sekali pun dan bukan atas dasar islam?

Mengislamkan bank pada pendapat saya adalah antara usaha mereka yang mengaku islam tetapi mengikut jejak langkah yahudi seperti hadis Nabi SAW,

Abu Said Al-Khudri meriwayatkan Nabi SAW berkata: Kamu akan ikuti jejak langkah mereka sebelum kamu inci demi inci dan langkah demi langkah sehingga jika mereka masuk ke lubang cicak sekali pun kamu akan tetap mengikuti mereka. Kami bertanya; Ya Rasulullah, adakah maksud kamu Yahudi dan Kristian perkataan "mereka sebelum kamu"? Baginda bersabda lagi: Siapa lagi (jika bukan mereka) Sahim Muslim
Kerana apa? Kerana umat Islam yang kaya mahu menjadi lebih kaya lagi  dan kekal kaya dengan menggunakan sistem yang memastikan mereka tidak punyai risiko atau hanya risiko yang minimum, maka sistem perbankan ciptaan yahudi inilah alat yang terbaik, umpama menyembelih babi dengan nama Allah dan melabelnya halal untuk dimakan oleh umat Islam. Ya, artikel saya memang keras kerana saya menulis bukan untuk menyedapkan hati sesiapa, menulis kerana takutkan Allah kerana saya pasti masa ini kemarahan Allah sudah teramat besar dengan umat yang bergelumang dengan penindasan halus ini.
  
Allah menghalalkan perniagaan dan mengharamkan riba', bank bukan perniagaan tetapi adalah riba kerana didalam perniagaan yang sebenar terdapat risiko yang mana Allah boleh membuatkan seseorang itu untung atau rugi dan ini membolehkan kekayaan dibahagi dan tersebar dikalangan manusia. Bank pula bukan perniagaan kerana bank menutup pintu risiko atau meminimumkannya dan meletakkan risiko hanya pada peminjam, contohnya jika peminjam kehilangan kerja dan tidak boleh membayar ansuran bulanan, pihak bank akan menendang peminjam keluar dari rumah yang disangka miliknya itu. Sebab itulah nota perjanjian jual beli (S&P) yang asal dipegang oleh bank dan peminjam hanya mendapat salinannya sahaja.

Jadi jika dibandingkan dengan menyewa, realitinya adalah
"membeli rumah dengan bank dan membayar bulan-bulan belum tentu menjadi milik sendiri, lebih menjadi hamba kepada bank, lebih kurang sama keadaannya dengan menyewa"
Akan tetapi jika kita menyewa selama 20 tahun dengan mencari rumah sewa sekitar harga RM 1,000, selepas 20 tahun, kita akan memiliki wang tunai ditangan sebanyak RM 191,676. Jika sanggup mencari rumah sewa yang lebih murah maka lebih banyak yang akan terkumpul. Jika wang tersebut laburkan didalam perniagaan yang berlandaskan Islam maka ia akan bertambah lagi. Katalah anda menyimpan dengan pulangan purata 5% setahun, selepas 20 tahun dengan menyewa, lebihan dari sewa berbanding membeli sebanyak RM 798.65 sebulan itu akan mencecah hampir RM 300 ribu. Bukankah hidup sebegini lebih berkat dengan mengelak diri dari riba' dan masih ada wang ditangan yang mana boleh membeli rumah dengan tunai tanpa riba'?


Mengapa agaknya manusia tidak mampu berfikiran jauh dan melihat keburukan riba' itu sendiri pada jarak jangka panjang? Mungkin disebabkan terdedah dengan maksiat menyebabkan mereka gagal mempunyai visi yang jauh. Frontal lobe adalah bahagian otak yang membolehkan seseorang manusia itu membuat perancangan dan melihat jauh kesan akan datang akibat tindakan masa kini, jika ianya lemah akibat tidak dilatih (contohnya tidak khusyuk solat) atau jarang digunakan (lalai dengan hiburan dan permainan) maka budaya membeli rumah dan hidup kekal dengan riba' ini menjadi norma-norma kehidupan yang membinasakan tanpa disedari. Satu lagi penyebabnya adalah cinta, sains membuktikan bahawa cinta itu buta jadi apabila sudah jatuh cinta dengan rumah baru maka yang buruk iaitu akan diperhambakan selama 2-3 puluh tahun tidak akan kelihatan lagi, hanya selepas menduduki dan kemudiannya masaalah timbul untuk membayar barulah ternampak keburukannya.

Saudara eD dari Muslimvillage menulis perbandingan menarik antara membeli rumah atau menyewa sahaja, beliau juga memberi fakta dan angka-angka untuk perbandingan kita semua memikirkan cara terbaik untuk hidup bebas dari riba. 

Artikel saya ini adalah dengan niat untuk menyedarkan rakan-rakan  termasuklah diri saya sendiri rahsia sebenar terselindung disebalik pemikiran bahawa "membeli rumah itu lebih baik" beserta janji-janji manis pihak bank dan juga penjual rumah,  terpulang lah pada diri masing-masing untuk membuat penilaian berdasarkan iman untuk kesenangan akhirat atau kesenangan dunia yang sementara ini. Untuk makluman, pihak bank dan penjual rumah sebenarnya juga telah tersangkut dengan riba',  sebab itulah mereka terpaksa berusaha untuk mengaut keuntungan membayar dividen atau pinjaman kepada pelabur, yang sedihnya kebanyakan pelabur ini adalah golongan kaya yang tamak dan sanggup melakukan apa sahaja tanpa mengira kesan buruk terhadap masyarakat hinggalah ke persekitaran. 

Sama-samalah kita berfikir arah tuju hidup kita ini samada berada di landasan yang betul atau hanya jalan yang "nampak" betul tetapi membinasakan. Memang saya akui diakhir zaman ini untuk hidup berlandaskan cara Islam amat sukar ibarat menggenggam bara api, namun ianya berbaloi untuk ganjaran masa depan iaitu akhirat yang kekal abadi, Insyaallah.


No comments:

Post a Comment